Tindakan semasa jerebu : Apa perlu dilakukan?

By kin - March 18, 2014


Assalamualaikum and salam ceria...

Ramai yang bertanya apakah kesan buruk jerebu terhadap kesihatan manusia, baik kesan jangka pendek mahupun jangka panjang?

Dan sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin terhadap persekitaran mahupun kesejahteraan diri sendiri, keluarga, jiran tetangga mahupun sesiapa sahaja yang kini terdedah kepada jerebu dan kesannya, apakah yang harus dilakukan?

Jerebu dan puncanya

Ia terjadi apabila keupayaan sistem udara sekitaran gagal menampung bebanan bahan cemar dan keadaan ini bertambah buruk sekiranya ia berlaku dalam cuaca yang stabil seperti keadaan yang kurang berangin.

Ini mengakibatkan bahan cemar berkaitan tidak dapat diserakkan ke tempat lain dan pemekatan berterusan berlaku.

Seterusnya akan meneruk dan memanjangkan tempoh dedahan penduduk setempat kepada jerebu yang semakin tebal.

Perbezaan tekanan muka bumi turut menyebabkan pergerakan bahan cemar cenderung berpusat ke sesuatu kawasan di samping keadaan geografi yang seakan-akan menampung bahan cemar agar tidak terkeluar jauh.

Hasilnya akan menyebabkan keadaan jerebu yang jelas dilihat pada mata kasar dan seharusnya pada masa itu Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap yang tidak sihat.

Punca kejadian menentukan isi kandungan udara semasa jerebu.

Pembakaran terbuka seperti hutan atau kawasan pertanian sering menyebabkan banyak partikel halus dan gas toksik terutamanya sulfur dioksida dan karbon dioksida terhasil dalam udara sekitaran.

Jerebu yang terhasil akibat daripada pelepasan asap tidak mengikut standard daripada kenderaan atau kilang akan mengandungi paras partikel halus dan gas toksik seperti nitrogen oksida dan nitrogen dioksida, karbon dioksida, plumbum dan sebagainya.

Kesan kesihatan akibat jerebu

Udara berjerebu mengandungi banyak partikel yang terdiri daripada habuk serta debu halus bersaiz sekecil 2.5 mikrometer yang mampu memasuki hingga ke alveolus paru-paru.

Habuk partikel menyebabkan iritasi dinding bronkus dan cabangnya serta mampu mengganggu fungsi rambut silia yang meliputi hampir keseluruhan saluran pernafasan.

Keadaan ini menyebabkan penghasilan cecair mukus bertambah daripada biasa dan menyebabkan banyak kahak terbentuk. Pada ketika ini pesakit akan mengadu keresangan pada tekak dan batuk.

Jika keadaan berterusan, penghasilan kahak akan bertambah dan ini akan menyempitkan saluran pernafasan.

Kedua-dua keadaan tersebut memungkinkan kuman bertindak balas dan menyebabkan jangkitan pada sistem pernafasan.

Kerana sifat partikel yang menyebabkan iritasi, ia juga menyebabkan kegatalan pada kelopak mata serta rongga hidung sekiranya terdedah kepada tahap tertentu.

Debu halus bersaiz 2.5 mikrometer sering menjadi masalah dalam aspek kesihatan persekitaran kerana ia boleh melalui sistem pernafasan sehingga ke hujung alveolar di mana berlakunya pertukaran oksigen dan karbon dioksida.

Kerana ia terlalu halus, kemungkinan memasuki ke dalam sistem darah semasa pertukaran oksigen dan karbon dioksida adalah tidak mustahil.

Dan diketahui bahawa terdapat beberapa logam toksik seperti plumbum dan sebagainya yang melekat pada debu halus menyebabkan berlakunya keracunan darah pada tahap yang mikro.

Kehadiran gas toksik di dalam jerebu memburukkan lagi keadaan dengan menyebabkan pengecutan saluran pernafasan dan seterusnya menyempitkan lagi saluran.

Keadaan tersebut akan menyebabkan pesakit asma terutamanya, mengalami serangan sesak nafas yang lebih kerap dan lebih teruk berbanding semasa tiada jerebu.

Dengan kehadiran hujan atau kabut, gas toksik akan dilarutkan bersama dengan partikel yang lain.

Keadaan ini memungkinkan berlakunya hujan atau kabut asid yang boleh menyebabkan iritasi pada dinding mukosa dan kulit kepada sesiapa yang terdedah.

Pendedahan kepada dinding mukosa seperti mata menyebabkan konjuntivitis, pada hidung menyebabkan bersin dan selesema, dan pada tekak menyebabkan perit dan gatal tekak.

Pada kulit ia menyebabkan keadaan gatal-gatal dan ekzema. Keadaan ini tidak sihat jika terdedah kepada pesakit kulit atau pesakit respiratori.

Asma

Dalam konteks kesihatan awam, asma merupakan salah satu penyakit yang berkait rapat dengan pencemaran udara.

Beberapa kajian dalam dan luar negara turut menyokong pandangan tersebut di mana fungsi pernafasan didapati merosot ketika jerebu.

Data epidemiologi yang lalu turut menunjukkan kes serangan asma meningkat hampir selari dengan peningkatan tahap IPU.

Ia sering terjadi di kalangan kanak-kanak dan remaja serta dikaitkan dengan sejarah keluarga yang mempunyai masalah yang sama terutamanya di kalangan ibu bapa atau saudara kandung.

Mereka yang sedia alami penyempitan saluran pernafasan akibat penghasilan cecair kahak yang banyak serta pengecutan saluran itu sendiri akan mengalami keadaan yang lebih buruk jika terdedah kepada habuk dan gas toksik jerebu di luar rumah.

Selain itu kanak-kanak dan remaja juga lebih terancam kerana mereka mempunyai kadar pernafasan yang lebih pantas berbanding orang dewasa dan ini menyebabkan lebih banyak bahan cemar akan disedut masuk lalu menyebabkan gangguan saluran pernafasan yang lebih signifikan.

Sesiapa yang terdedah kepada jerebu akan menunjukkan tanda resangan pada bahagian mukosa seperti mata, hidung dan tekak.

Beliau akan mengalami pedih mata dan berair, pedih hidung dan bersin, perit tekak dan batuk.

Sekiranya pesakit asma dapat mengelak daripada dedahan jerebu seterusnya, beliau mungkin dapat menghindari dirinya daripada serangan asma.

Namun sekiranya terus mengalami dedahan, serangan asma mungkin berlaku, yang mana ia lebih kerap, lebih teruk dan lebih sukar dirawat berbanding serangan asma yang biasa.

Mungkin perlu dimasukkan ke hospital atau pusat perubatan untuk rawatan lebih intensif sekiranya berlaku jangkitan sistem pernafasan.

Jangkitan berlaku apabila pesakit mula menunjukkan tanda seperti demam, batuk berkahak, selesema berpanjangan, sakit kepala dan sebagainya.

Rawatan segera penting bagi mengelakkan komplikasi jerebu yang lebih teruk.

Pesakit asma yang telah pulih dinasihatkan agar duduk di rumah dan kurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan agar tidak terdedah seterusnya kepada jerebu.

Serangan semula mungkin berlaku jika berterusan terdedah kepada jerebu.

Tindakan pencegahan

Golongan yang berisiko tinggi selain pesakit asma adalah pesakit pernafasan kronik, pesakit jantung dan warga emas juga perlu diberi perhatian ketika berlakunya pencemaran udara seperti jerebu.

Dinasihatkan agar mereka ini mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah sekiranya IPU mencapai 200 mata, ditafsirkan sebagai tidak sihat.

Digalakkan memakai alat lindung diri sekiranya berada di luar rumah atau bangunan.

Kawalan alam sekitar bagi mengurangkan pencemaran dalam rumah perlu dilaksanakan seperti tidak merokok, tidak menggunakan lingkaran asap menghalau nyamuk di samping penggunaan alatan pengudaraan yang baik.

Sekiranya IPU mencapai peringkat berbahaya, golongan berisiko tinggi dan masyarakat umum perlu mengurangkan masa serta aktiviti luar.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap arahan kerajaan dan kepada masyarakat, pembakaran terbuka mestilah dihentikan serta-merta.

Begitu juga kilang-kilang perlu mematuhi arahan daripada pihak berkuasa agar mengikut standard yang telah ditentukan.

Masyarakat boleh berkongsi kenderaan ke pejabat atau menggunakan pengangkutan awam yang sedia ada untuk urusan harian.

Udara kini sedang sakit akibat aktiviti tidak bertanggungjawab segolongan manusia di negara jiran.

Jangan kita menambah ketenatan udara tersebut kerana setiap daripada kita bernafas di dalam satu ekologi udara yang satu.



Apa yang menyumbang kepada jerebu?

1. Pembakaran secara terbuka
2. Penggunaan bahan bakar yang 'kotor'
3. Penggunaan minyak mengandungi plumbum untuk kenderaan
4. Kawalan pencemaran yang tidak berkesan
5. Pelbagai semburan atau aerosol
6. Pelbagai pembakaran yang menyumbang kepada penghasilan asap
7. Mungkin juga pembakaran rokok !!!


Apakah kesan kesihatan kepada manusia

1 Gangguan saluran pernafasan dan paru-paru seperti asma atau lelah, sesak nafas dan radang paru-paru

2 Mata terasa pedih-pedih,berair dan rengsa serta menyebabkan konjuntiviti

 3 Kepala berasa berat dan sakit

4 Dada ketat dan terasa sesak


5 Letih yang berlebihan dari biasa


6 Ketidak stabilan emosi


7 Gangguan kepada hormon terutama wanita


8 Kesan kepada ibu yang mengandung dan juga kepada janin


9 Mungkin menyebabkan maut jika gangguan pernafasan menyebabkan serangan asma atau bronchitis yang teruk

*partikel terampai ini boleh menyebabkan kesan kepada:

· Kematian bayi dalam kandungan
· Masalah pernafasan
· Asma yang kritikel
· Bronkitis yang kronik
· Kerosakan paru-paru
* Menurut EPA ( Unit Pencemaran Udara USA ) (1992)

Indeks Pencemar Udara (IPU) di Malaysia

0-50 -----Sihat
51-100 ----sederhana
101-200 -------tidak sihat
201-300 ------sangat tidak sihat
300 --------Berbahaya



Apa yang perlu anda lakukan

· Menutup hidung dan mulut semasa berada di luar
· Memakai kaca mata yang boleh melindungi mata
· Meminum air yang banyak untuk melegakan rongga pernafasan, khususnya tekak
· Memasukkan air dalam hidung bagi membersihkan saluran hidung yang menapis kotoran
· Kerap mencuci muka dan badan bagi menghilangkan kotoran
Selain itu, anda boleh lakukan perkara berikut

Kerap mengambil wuduk bagi orang Islam
· Ambil makan seimbang yang berkhasiat terutama sayuran dan buah-buahan
· Kurangkan masa berada diluar rumah atau bangunan
· Mungkin pengambilan vitamin serta makanan kesihatan dapat meningkatkan imuniti dan tahap kesihatan
· Mungkin juga penggunaan alat pembersih udara dalam tempat tertutup boleh membantu mengekalkan udara dalaman yang bersih
· Kurangkan aktiviti yang menggunakan bahan yang boleh mencemarkan udara seperti: menyembur, mengecat
· Menggunakan air semburan untuk menggurangkan habuk
· Mengurangkan penggunaan alat yang boleh menghasilkan bahan pencemaran
· Mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor
· Mengalakkan penggunaan kenderaan awam
· Menasihati orang awan menjauhi tempat berjerebu
· Pengharaman pembakaran secara terbuka
· Kawalan lebih ketat kepada industri.
· Mengurangkan waktu persekolahan .
· Mengurangkan masa bekerja
· Penggunaan kenderaan awam secara percuma atau diskaun
· Pesakit mengidapi penyakit pernafasan dinasihati meninggalkan kawasan yang terlibat
· Mengurangkan aktiviti kemungkaran dan kemaksiatan kerana setiap yang berlaku didunia ini pasti ada kaitannya dengan dosa, kerosakan dan kezaliman yang dibuat manusia itu sendiri
· Bersembahyang dan berdoa kepada Tuhan agar diturunkan hujan bagi membersihkan kembali udara

sumber : utusan, JAS 1997


  • Share:

You Might Also Like

0 comments