Bipolar Mood Disorder

By kin - August 20, 2011

Salam Ramadhan..

Lama juga aku tak update blog pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Bukan apa, tuntutan kerja lebih diutamakan. Maklumlah kerja itu salah satu ibadah kita, Insya Allah jika disertakan dengan nawaitu hanya kerana Allah taala.

Kali nih, entri pada blog agak lari dan lain daripada biasa. Rasa nak meluahkan; rasanya tak patut tapi saja untuk berkongsi ilmu supaya kita sebagai hambanya samada rasa dizalimi, rasa dianiaya ataupun menzalimi dan menganiaya..eloklah kiranya sentiasa bersangka baik terhadap apa jua musibah melanda kerana kita sebagai manusia jika tidak diuji, nikmatnya mungkin tak kick. hehehehe

Aku berpegang kepada satu sahaja, setiap manusia tidak akan lari daripada masalah. Tak kiralah apa jua masalah melanda..Masalah keluarga, masalah kewangan, masalah hubungan dan pelbagai bentuk masalah. Yang pastinya, bagaimana kita nak menghadapi dan cara kita sendiri untuk mengatasi permasalahan ini. Setiap masalah yang melanda dalam kehidupan, kita perlu atasinya dengan penuh keimanan. Jika tidak..maka goyahlah pendirian malah  boleh mencetus pelbagai masalah yang berkait samada langsung atau tidak langsung.


Tipu lah kalau aku sendiri takde masalah yang aku katakan. Apa-apapun aku belajar dari kesilapan dari peristiwa silam. Mengajar aku lebih matang dan sentiasa bersangka baik kepada Allah bahawasanya setiap apa yang berlaku itu, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Kalau bukan sekarang, mungkin di kemudian hari hikmah itu akan muncul. 

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):”Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Rabb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.[286]”

Di sini aku nak berkongsi satu petikan Apa Itu Bipolar Mood Disorder yang mana ramai antara kita tidak sedar samada kita atau orang disekeliling kita menghadapinya. Ubat memang diberi oleh psychiatrist dalam bentuk fizikal ( tubuh badan, koordinasi rembesan kimia pada otak) tetapi ubat spitural..rohani...perlu diubati juga dengan sentiasa mengukuhkan hati kita dengan amalan mengaji...berzikir dan sentiasa muhasabah diri dan paling penting sentiasa rasa bersyukur kepada Allah.


Harap perkongsian ini dapat membuka mindaku dan tabahkanlah hatiku dan juga keluargaku. Amin.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Apa itu Bipolar Mood Disorder


PENGALAMAN SILAM

Lama sebelum itu, seorang pelajar datang ke rumah saya. Beliau mahu mencadangkan kepada saya plan latihan ketenteraan yang beliau rangka. Saya hanya mampu mengangguk. Selama 6 jam beliau bersyarah di hadapan saya. Dari isu plan ketenteraan tersebut, sampailah kepada perancangan Yahudi di sebalik animasi Pokemon dan kesukaannya terhadap Doraemon. Bercakap tidak berhenti-henti, penuh semangat, tetapi tiba-tiba menangis seketika sebelum menyambung kembali syarahannya kepada saya.

Secara jujurnya, tepat jam 4 pagi, saya sudah menjadi demam akibat ‘torture’ syarahan pelajar ini.

Semasa itu, saya hanya terfikir satu perkara. Mungkin pelajar ini dirasuk jin!

Tetapi apabila plan ketenteraannya saya berikan kepada isteri, beliau dengan segera memberikan komen, “abang, rasanya budak ni ada masalah bipolar disorder. Lengkap belaka”

Saya terdiam.

Malang sekali, pelajar tersebut gagal diselamatkan. Beliau ditahan polis kerana berkelakuan agresif di khalayak ramai. Namun saya bersyukur kerana kini kehidupannya teratur kembali. Semoga beliau terus tenang dan berusaha mematuhi nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh pakar psikiatri kepadanya.

PERINGKAT HIPERMANIA

Hasil pembacaan buku dengan panduan isteri, serta bacaan di internet, saya dapat memahami serba sedikit tentang masalah Bipolar Disorder ini. Semasa seseorang itu berada di tahap mania, dia itu sering menunjukkan simptom-simptom berikut:

  • Bertenaga secara berlebihan, aktif dan menolak rehat
  • Mempunyai perasaan yang begitu tinggi bahawa dirinya itu ‘bagus’
  • Komunikasinya sungguh merimaskan dan mengganggu
  • Berfikir dengan laju dan ekstrim, bercakap dengan begitu pantas dan melompat dari satu idea ke satu idea. Ideanya boleh difahami tetapi tidak berkait di antara satu sama lain
  • Mudah terganggu dan sukar menumpukan perhatian
  • Tidak tidur kecuali sedikit atau tiada langsung
  • Mempunyai kepercayaan berlebihan secara tidak realistik terhadap kuasa dan keupayaan seseorang
  • Lemah dalam membuat keputusan
  • Berbelanja secara yang sangat boros
  • Kelakuan melampau yang berpanjangan lebih dari kadar yang biasa
  • Keinginan seks yang meningkat
  • Boleh terjebak ke dalam penggunaan dadah terutamanya kokain, juga minuman beralkohol serta pil tidur
  • Provokatif, intrusif dan sikap yang amat agresif
  • Sangat menafikan yang dirinya itu di pihak yang salah
Sudah beberapa orang yang jangkakan dirinya mengalami Bipolar Disorder ini menunjukkan hampir kesemua simptom itu. Tentu sahaja jika orang yang mengalami masalah ini merupakan suami, atau majikan kita, mereka akan sungguh menyeksa kehidupan kita.

MENCETUS KEHANCURAN SOSIAL

Inilah yang membimbangkan saya. Tanpa pengetahuan tentang masalah psikiatri ini, saya tidak tahu berapa banyak rumah tangga yang hancur, berapa banyak pekerja yang diberhentikan majikan, dan berapa banyak syarikat yang musnah, apabila suami di dalam rumah tangga, atau majikan di dalam sebuah syarikat, mempamerkan sikap yang sangat agresif.

Siapa yang tahan dengan manusia sebegini?

Sanggupkah isteri berdepan dengan perubahan mendadak seorang suami?

Tidakkah menderita seorang pekerja apabila majikannya mempraktikkan kesemua simptom di atas?

Andai segalanya difikirkan sebagai perubahan sikap, ia tentu menimbulkan 1001 kesulitan. Tetapi jika kesemua simptom itu ada, berkemungkinan suami anda, atau majikan anda mengalami gangguan emosi yang teruk, dan mereka wajar mendapatkan rawatan.

PERINGKAT DEPRESI (KEMURUNGAN)

Oleh kerana namanya Bipolar Disorder, pesakit juga akan terjun dari keaktifan yang amat tinggi itu kepada kemurungan yang menjatuhkan segala-galanya. Maka apabila beliau berada di situasi depresi, pesakit tersebut akan menunjukkan simptom-simptom berikut:
  • Kesedihan yang berpanjangan, gelisah dan perasaan yang kosong
  • Rasa putus harapan dan pesimis terhadap segala-galanya
  • Merasa bersalah, tidak berguna, dan tidak mungkin dapat dibantu
  • Hilang minat kepada aktiviti-aktiviti yang disukainya sebelum ini, termasuk terhadap seks
  • Kehilangan tenaga, lesu yang teruk dan beransur lemah
  • Sukar memberi tumpuan, sukar mengingati sesuatu dan sulit membuat keputusan
  • Tidak mahu berehat atau sentiasa rasa terganggu apabila cuba berehat
  • Tidur yang terlalu banyak, atau langsung tidak boleh tidur
  • Hilang selera makan, kehilangan berat badan
  • Sakit yang berpanjangan (kronik) terhadap tubuh badan yang bukan disebabkan oleh sakit fizikal atau kecederaan
  • Banyak berfikir tentang kematian, malah terfikir untuk membunuh diri, dan cuba melakukannya.


KEPERLUAN PENDAKWAH DAN KAUNSELOR

Saya merasakan, bagi seorang pendakwah apatah lagi mereka yang sering didatangi oleh mereka yang cuba mendapatkan nasihat tentang krisis rumah tangga dan kerja, amat perlu untuk menambah pengetahuan tentang hal ini. Dengan itu kita akan terhindar daripada memberikan nasihat-nasihat yang memburukkan lagi keadaan.

Bayangkan jika seorang pekerja mengadu kepada anda tentang kelakuan majikannya yang sungguh menyakitkan, tanpa ada peduli kepada persoalan gangguan emosi dan masalah psikiatri ini, dengan mudah anda akan memberikan nasihat supaya pekerja itu mengambil tindakan undang-undang, berhenti kerja atau terus melawan atas alasan mempertahankan hak dan maruah diri.

Segala perbuatan pekerja itu yang membalas kelakuan agresif majikannya itu akan hanya menyebabkan masalah Bipolar Disorder beliau menjadi semakin teruk. Dan kita patut menjangkakan kesudahan yang terburuk, jika segala-galanya dibiarkan.

Begitu juga dengan isteri atau suami yang berdepan dengan hal ini. Sedikit sebanyak pengetahuan seperti ini akan membolehkan kita bertenang, tidak ‘ambil hati’ dan boleh menghulurkan bantuan malah terus bersangka baik, biar pun dengan cara yang sungguh pelik!

“Bantulah saudaramu, sama ada dia itu zalim, atau dizalimi” (Al-Hadith)

Si zalim itu mungkin pesakit Bipolar Disorder.

Sumber : ABU SAIF @ www.saifulislam.com

  • Share:

You Might Also Like

0 comments